Dahulu, cermin hiasan hanya digunakan untuk melihat wajah dan bersolek, tetapi kini fungsi cermin lebih kepada melengkapi keunikan ruang atau sudut kediaman.
Ramai melihat keunikan cermin hiasan sebagai elemen dekorasi hiasan dalaman terpenting dalam menginspirasikan ruang atau sudut pelbagai dimensi.
Penataan ruang atau sudut kediaman lebih menyeluruh jika elemen cermin hiasan digunakan sepenuhnya bagi menyerlah konsep atau tema pilihan pemiliknya.
Ruang tamu, ruang makan, bilik tidur dan bilik mandi ternyata mempamerkan kelainan jika ada elemen cermin hiasan.
Keindahan ruang tamu berlatarkan susun atur perabot, fabrik langsir pilihan dan aksesori perhiasan menarik menjadi satu dimensi jika cermin diletakkan pada dinding ruang berkenaan.
Keharmonian dan keceriaan dalam meraikan tetamu dan keluarga sambil menikmati sajian lebih bermakna dengan refleksi cermin hiasan di ruang berkenaan.
Malah, penggunaan cermin di bilik tidur sudah lama diketengahkan dalam masyarakat kita khususnya jenis cermin yang digabungkan dengan set meja solek.
Sejak dulu ia bagaikan pelengkap utama bilik tidur yang menjadi ruang paling peribadi dan selesa untuk berdandan atau bersolek.
Sementara itu, kehadiran cermin hiasan di bilik mandi menjadi kemestian dalam gaya hidup masyarakat hari ini kerana ia menjadi perhiasan pertama yang ditatap keluarga dan tetamu.
Penggunaan cermin hiasan dalam menyerikan ruangan santai berlandskap menarik turut mencuri perhatian apabila kehijauan pemandangan itu terbias pada cermin.
Tidak dinafikan kehadiran apa jua jenis cermin hiasan ruang tertentu termasuk jenis berbingkai, bercorak atau berlakaran seni membuatkan ia menjadi titik tumpu dan menceriakan suasana.
Letaklah di sudut mana sekali pun, cermin hiasan tetap sepadan kerana refleksi diterjemahkan secara langsung menampakkan ruang yang lebih luas.
Bagi kediaman yang tidak mempunyai ruang terhad, penggunaan cermin hiasan memang digalakkan memandangkan cita rasa setiap pemilik kediaman berbeza.
Bagaimanapun, menurut pensyarah arkitektur dalaman Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Prof Mohd Ali Yusop, masih ramai tidak berani menata rias kediaman menggunakan cermin hiasan untuk segenap sudut.
“Masyarakat kita menganggap peranan cermin hiasan hanya untuk melihat wajah dan bersolek semata-mata, tidak lebih dari itu.
“Berbeza dengan masyarakat luar seperti Eropah dan India yang menjadikan cermin hiasan sebagai elemen terpenting seni menghias kediaman,” katanya.
Mohd Ali berkata, fungsi cermin hiasan yang pelbagai melengkapkan lagi konsep kediaman termasuk minimalis dan klasik.
“Bagi konsep minimalis, penggunaan cermin hiasan berbingkai ringkas digalakkan, sementara konsep klasik pula anda boleh menyerikan kediaman dengan cermin berbingkai klasik untuk merealitikan lagi suasana.
“Namun, perlu diingat setiap ruang ada nilai seni tersendiri yang bersifat subjektif kerana di kalangan kita mempunyai pandangan berbeza dalam menata rias kediaman,” katanya.
Tip Menjaga Cermin Hiasan
Bagi memastikan cermin hiasan sentiasa bersih dan bersinar-sinar, permukaannya perlu dilap setiap hari atau sekurang-kurangnya seminggu sekali.
Cuci cermin menggunakan cecair pencuci atau cuka.
Jangan lupa, cermin antara perhiasan pertama yang dilihat dan ditatap tetamu.
Bagi cermin hiasan berwarna tidak boleh dicuci seminggu selepas pemasangan, sebaliknya lap menggunakan kain lembut dan pencuci tingkap biasa atau penyapu bulu ayam untuk cucian harian.
Cermin hiasan berbingkai atau bercorak perlu lebih teliti penjagaannya kerana proses penjagaan bukan hanya pada cermin malah merangkumi bingkainya sekali.
No comments:
Post a Comment