DALAM menghias rumah, ada kala kita salah membuat pertimbangan hinggakan rumah tidak tampil menarik seperti yang diinginkan.
Puncanya mungkin kerana kita tersalah membuat pilihan barangan yang hendak dihias di rumah atau cara ia dihias.
Pakar-pakar hiasan dalaman mengenal pasti sekurang-kurangnya 10 perkara untuk dielakkan semasa menghias rumah.
1. Menyangka barang yang dipamerkan di bilik pameran yang luas akan kelihatan sama cantik di rumah anda.
Memang setiap perabot di gedung perabot yang luas, kelihatan cantik, tetapi hakikatnya, rumah anda biasanya mempunyai ruang yang kecil.
Jadi, ukur ruang anda dan hias mengikut saiznya. Untuk ruang lebih kecil, elakkan menghiasnya dengan banyak perkakas kecil, sebaliknya, gunakan sedikit perkakas yang besar agar ruang tidak kelihatan semak, seperti sebuah gambar atau lukisan yang besar.
2. Dapatkan cahaya hanya daripada lampu siling.
Lampu begini membuat ruang seperti stadium bola sepak. Anda sebaliknya boleh gunakan lampu tambahan lain seperti lampu meja dan lampu yang berdiri di atas lantai.
Gambar-gambar juga akan kelihatan lebih hidup jika dihiasi dengan cahaya lampu.
3. Beli perabot seragam.
Anda tidak perlu dapatkan satu set perabot dalam warna dan bentuk rekaan yang sama sebagaimana dipamerkan dalam gedung perabot.
Misalnya, jika gedung mempamerkan sofa, kerusi, meja dan bangku panjang serupa dalam satu set, anda tidak perlu membelinya semua.
Anda boleh beli jenis yang berlainan dan kemudian sesuaikan, seperti sofa tradisional dengan warna moden.
4. Pilih warna cat di kedai.
Cahaya lampu di kedai cat biasanya kurang terang, jadi jika memilih warna cat di kedai, ada kemungkinan anda menyesal kemudian.
Oleh itu, perhatikan warna itu dalam pancaran cahaya semula jadi dan kemudian di rumah anda.
Untuk dapatkan gambaran terbaik, cucuk lubang pada sekeping kertas putih dan perhatikan warna yang dipalit pada sekeping kain di belakangnya melalui lubang itu.
5. Tampilkan satu ciri berlebih-lebihan.
Usah berlebih-lebihan menggunakan satu ciri atau tema, misalnya, tema binatang di rumah anda, kerana ia akan membuat rumah anda kelihatan seperti kebun binatang. Ini juga membuat perhiasan lain tenggelam.
6. Biarkan barang-barang perhiasan kecil tidak terpamer rapi.
Barang-barang yang selalu tidak dipamer rapi adalah seperti pasu seramik kecil atau patung binatang.
Tukar ganti perhiasan kecil ini dan usah pamer terlalu banyak.
7. Pamerkan pokok di pasu-pasu kecil.
Pokok di dalam rumah harus menarik perhatian. Jika tidak, ia harus dibiarkan di luar saja.
Meletakkan pokok-pokok kecil di dalam rumah adalah trend 1970-an. Gaya moden hari ini ialah menayangkan satu pokok besar dalam sebuah pasu. Meletakkan beberapa pasu akan menyemakkan ruang.
8. Pilih pelbagai warna untuk mengecat tembok.
Keadaan ini boleh membingungkan tamu. Warna kuning di sebuah bilik, disusuli warna oren di bilik lain dan kemudian warna firus (turquoise) di satu lagi bilik lagi, boleh membuat rumah kelihatan tiada stail dan tidak dirancang baik.
Yang elok, pilih beberapa warna serumpun seperti rumpun hijau atau warna-warna tanah alami.
9. Tidak tahu berhenti menghias.
Ada orang memang tidak tahu berhenti membeli perabot, barang perhiasan dan lukisan hingga rumahnya semak.
Trend hari ini ialah simplicity iaitu mudah. Hias dengan satu dua perhiasan paling cantik, cukup.
10. Pilih kain terlalu bercorak.
Apabila anda memilih alas meja, fabrik untuk sofa atau langsir, elak yang bercorak terlalu 'ramai' dan jenis yang beropol dan berkelepet. Corak yang simple lebih mudah diubah suai. -- Women's Day.
No comments:
Post a Comment