Friday, March 11, 2011

Warna pengaruhi hiasan dalaman

WARNA cukup mudah mempengaruhi mood seseorang. Lantaran itu, apabila tersilap memilih warna untuk mengecat kediaman, ia mungkin memburukkan suasana.



Warna mempunyai pengaruh besar untuk mengubah pandangan seseorang apabila berada di sesuatu ruang di samping kesannya terhadap emosi dan mental.

Warna terang dan garang seperti merah, kuning dan jingga boleh menaikkan semangat manakala warna seperti biru, hijau dan ungu dikatakan mampu meredupkan pandangan serta mengurangkan ketegangan emosi .

Pilihan warna bersesuaian juga membantu mengubahsuai hiasan di ruang yang dikehendaki sama ada mahu membuatkan ruang itu kelihatan besar atau kecil serta selesa didiami.

Memilih warna gelap akan membuatkan seolah-olah barangan di dalam ruang berkenaan lebih dekat pada diri kita. Ia sebenarnya sekadar ilusi tetapi boleh digunakan untuk mengubah pandangan terhadap saiz sesuatu ruang.

Saiz bilik yang terlalu besar mungkin membuatkan kurang selesa apatah lagi apabila tidak ramai yang mendiami rumah berkenaan. Justeru, dengan mengecat dinding dan siling menggunakan pilihan warna gelap, ia akan membuatkan sesuatu ruang itu kelihatan lebih kecil.

Sementara itu, pilihan warna pastel dan lembut pula akan membuatkan bilik kecil kelihatan lebih besar. Warna pastel mengandungi banyak campuran warna putih yang boleh memantulkan cahaya manakala warna lembut pula dapat meredupkan keadaan.

Jika kedudukan siling agak rendah, cat siling menggunakan warna lebih terang daripada cat di dinding bagi `meninggikan' kedudukan siling. Jika mahu keadaan sebaliknya, cat siling dengan warna yang gelap sedikit daripada warna dinding.

Sama seperti dinding mahu pun siling, pilihan warna tadi boleh digunakan pada perabot dan hiasan. Warna sofa yang terang dan garang membuatkan perabot itu kelihatan besar manakala sofa berwarna kelam atau pucat pula membuatkan ia kurang menonjol namun tetap melembutkan suasana.

Sekiranya ada hiasan dalaman yang kurang menarik, warnakan ia dengan cat yang sama atau hampir sama dengan warna dinding supaya hiasan berkenaan tidak begitu diperhatikan oleh tetamu.