HARI ini, seni menghias rumah bukan lagi sekadar hobi apabila ramai yang menyedari bahawa suasana rumah amat penting dalam mempengaruhi mood seseorang.
Pada masa yang sama, ia juga dianggap satu nilai estetika yang mampu memberikan seribu ketenangan kepada pemilik rumah.
Sudah pasti apabila berkata tentang menghias rumah, salah satu ciri utama yang semestinya menjadi perhatian ialah hiasan rumah.
Tidak kira mahal ataupun murah, setiap rumah pasti dihias mengikut cita rasa dan idea masing-masing.
Apa yang dilakukan adalah bertujuan menambat pandangan saudara mara, sahabat handai atau sesiapa sahaja yang berkunjung.
Apabila memperkatakan tentang menghias rumah, ia sebenarnya bermula daripada perabot, pinggan mangkuk, langsir, alas meja, lampu, jambangan bunga, wangi-wangian dan sebagainya.
Bagi mereka yang begitu mementingkan penggayaan ruang kediaman tentunya mahukan penampilan yang cukup sempurna.
Untuk itu, bagi mereka yang cukup 'cerewet' ataupun mahukan yang terbaik dalam hiasan rumah, mereka boleh dapatkan perkhidmatan pakar hiasan dalaman di samping barangan perhiasan yang sesuai untuk kediaman masing-masing bagi merealisasikan konsep dekorasi pilihan.
Selain barangan perhiasan rumah yang sesuai, khidmat pakar hiasan dalaman juga dilihat penting bagi mengurangkan risiko kesilapan memilih gaya penataan dan membeli perabot atau aksesori hiasan yang kurang sesuai.
Ini diakui sendiri oleh Pengurus Besar D'Nora Creative Enterprise, Norazita Abdullah. Malah tambah beliau, menghias kediaman adalah sebagai pelengkap gaya hidup selari dengan arus kemodenan masa kini.
Katanya, cara seseorang menghias kediaman juga mampu membangkitkan aura penghuni di dalamnya.
"Ini meliputi pemilihan warna, pengaliran cahaya dalam rumah, penataan perabot serta hiasan dan sebagainya.
"Semua itu mempunyai peranan sendiri yang jika digabung susun dengan sempurna bukan saja menceriakan kediaman malah memberi aura yang baik kepada penghuninya," katanya.
Tambah Norazita, bagi mendapatkan semua elemen-elemen yang diperlukan dalam sesebuah kediaman kadang kala memerlukan suntikan pendapat daripada mereka yang arif seperti perunding hiasan dalaman dan sebagainya.
"Untuk itu kami di D'Nora Creative Enterprise sememangnya menawarkan perkhidmatan pakar hiasan dalaman di samping barangan perhiasan untuk rumah.
"Di sini ia merupakan satu pusat sehenti di mana para pelanggan boleh mendapatkan segala-galanya di bawah satu bumbung,'' ujarnya ketika ditemui di kedainya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, baru-baru ini.
Sempena dengan kedatangan Syawal tidak lama lagi, D'Nora Creative Enterprise turut mengadakan jualan promosi hari raya yang bermula awal Julai lalu hingga hujung Ogos ini.
''Sempena hari raya yang bakal tiba tidak lama lagi, kami memberikan potongan harga untuk semua barangan di sini.
''Untuk barangan perhiasan yang berkonsepkan Inggeris, kami menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus manakala untuk kertas dinding sebanyak 15 peratus.
''Kami turut menawarkan harga 'runtuh' untuk langsir yang merangkumi empat bilik yang berharga RM799 di mana ia untuk harga kain, jahit dan pasang tetapi tidak untuk rel langsir,'' jelasnya.
No comments:
Post a Comment