Tuesday, August 10, 2010

Kemasan dinding dapur

Oleh Hamidon Abdullah

Pilihan kayu, jubin atau kaca perlu selari warna tema

RUANG dapur praktikal bukan saja menyediakan keperluan ruang efisien bahkan menyajikan keselesaan persekitaran membabitkan pilihan kemasan, pengudaraan dan pencahayaan.

Namun, ruang dapur gelap dan kelam nampak murung serta tidak ceria dan syarat asas membangkitkan suasananya adalah dengan mengutamakan pemilihan kemasan sesuai. Malah, pemilihan kemasan ini tidak hanya mempengaruhi suasana menarik tetapi turut menerapkan aspek nilai kebersihan.
Walaupun dinding dapur bukanlah komponen penting pembinaan dapur efisien namun ia memainkan peranan penting dalam pembahagian ruang selain di situ juga tempat kabinet dipasang untuk ruang penyimpanan.

Justeru, sebahagian dinding penting perlu diberi perhatian dan dipasang kemasan namun pilihan bahan kemasan perlulah disesuaikan dengan keseluruhan konsep dan tema warna dapur. Secara amnya, meja kerja sepatutnya mempunyai ketinggian permukaan 90 sentimeter (36 inci). Ukuran tinggi lazim ini amat sesuai bagi urusan penyediaan makanan serta minuman.

Ukuran tinggi para dan rak kabinet bahagian atas pula sebaik-baiknya sehingga 180 sentimeter (72 inci). Ketinggian berkenaan membolehkan pengguna mencapai barangan yang disimpan dengan mudah. Selain itu, kemasan permukaan dinding dapur sepatutnya berciri tahan panas, kalis air dan calar, tidak mudah terbakar serta mudah dibersihkan. Sekiranya, kemasan dipilih memenuhi kriteria disebutkan, ia adalah pilihan terbaik namun pastikan yang dipilih bersesuaian konsep serta tema ruang dapur.

Pilihan bahan kemasan dinding dapur
Ada pelbagai pilihan bahan kemasan di pasaran, antaranya, kayu, jubin seramik, keluli tahan karat, granit dan mozek.

Bahan Kayu

Material kayu cukup cantik terutama jika disapu barnis. Namun, kekurangannya adalah tidak berapa kalis kotoran, cepat melekat dan meninggalkan tanda cela, mudah terbakar, retak selain berpotensi membiak bakteria. Cara menjaganya ialah menggosoknya dengan kain lembap menggunakan bahan pencuci lembut. Dinding kayu sentiasa dibarnis dan dikeringkan mampu bertahan lebih 20 tahun.

Jubin Seramik

Penggunaan jubin untuk kemasan dinding dapur bukan perkara baru tetapi dipercayai pilihan paling popular sejak dulu. Begitupun, anda dinasihatkan berhati-hati menggunakan jubin berkilat kerana lapisannya mungkin mengandungi bahan beracun. Pastikan juga jubin digunakan benar-benar keras dan tidak mudah retak. Seelok-eloknya, simpan bekalan jubin sebagai persediaan jika jubin lama rosak. Kelebihan menggunakan bahan jubin seramik terletak kepada ciri tahan kelembapan manakala permukaannya yang berkilat itu mudah dibersihkan. Jubin seramik digunakan biasanya berukuran 10 sentimeter x 10 sentimeter dilengkapi pelbagai motif, tekstur dan warna. Selain itu, gabungan corak serta susunan jubin boleh dipelbagai merujuk tema kediaman misalnya, gaya kedesaan Inggeris yang mengutamakan jubin corak bunga serta buah-buahan.

Jubin Mozek

Jubin mozek begitu popular suatu ketika dulu dan sering dijadikan kemasan kediaman kolonial. Kini, ia kembali popular kerana mengutarakan konsep retro yang kini menjadi buruan pencinta hiasan dalaman. Kepelbagaian warna cip mozek membantu menyerlahkan suasana dapur di samping ciri menariknya iaitu senang dibersihkan, tahan kesan panas, kalis air serta warna berkilat menawan.

Kepingan Besi dan Aluminium

Kemasan berasaskan besi tahan karat, aluminium dan sebagainya pilihan berbaloi kerana tahan api, kalis air dan calar selain mudah dibersihkan. Meskipun, ia banyak diketengahkan di ruang dapur komersial namun sifat sofistikated itu turut menyerlah di ruang bertema moden, rasmi dan anggun. Dengan lain perkataan, ia mencerminkan ruang dapur berkonsepkan teknologi tinggi, moden dan minimalis.

Kaca

Kesan pantulan kaca serta cermin berupaya menaikkan ragam suasana selain menjadikan persekitaran ruang dapur nampak lapang, menarik dan meriah. Ditambah dengan kelengkapan dapur yang disusun rapi serta sistematik. Kesan ilusi berkenaan boleh ditingkatkan lagi menerusi penggunaan lampu tumpu di sudut tertentu. Sementara, sifat bahan kemasan kaca serta cermin yang tahan calar dan panas, kalis air serta mudah dibersihkan ini menjadikan menjadikannya pilihan paling sesuai untuk gaya ruang dapur ringkas, moden lagi praktikal.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment